RISALAH DAKWAH:

 

 

 BULAN SAFAR MEMBAWA SIAL?

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا عدوى ولا صفر ولا هامة .فقال أعرابي : يا رسول الله فما بال الإبل تكون في الرمل كأنها الظباء فيجيء البعير الأجرب فيدخل فيها فيجربها كلها ؟ قال : فمن أعْدَى الأول ؟

Dari Abu Hurairah r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :

“Tiada jangkitan, tiada sial, tiada jangkitan safar dan tiada jangkitan hammah (binatang berbisa yang membunuh) Seorang Arab Badwi berkata: “Apakah gerangan unta yang berada dalam pasir seakan-akan kijang betina lalu dicampuri oleh unta lain yang berkurap lalu menyebabkan ia berkurap? Rasulullah SAW bersabda : “ Siapakah yang menjangkitkan unta yang pertama?” Hadith Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad

BULAN Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka. Antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam pada bulan ini ialah Peperangan Al-Abwa pada tahun kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin, tahun ketiga Hijrah dan Peperangan Ar-Raji (Bi'ru Ma'unah) pada tahun keempat Hijrah.

Di dalam bulan ini juga ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala- petaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.

Antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan perbuatan berkenaan boleh menghapuskan dosa dan menolak bala.

Pada biasanya amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.

Selain daripada amalan tersebut, kebanyakan umat Islam pada masa ini, khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 51 yang tafsirannya: 

 “Katakanlah (wahai Muhammad):“Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”

 Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah nyata ditegah oleh syarak di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah melemparkan sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.

Wallahu a’lam

 

   
 

   
 

   
   

 
 

     
 

   
             
 
     

TAHUKAH ANDA???

MAKNA DISEBALIK BULAN-BULAN ISLAM

Sebenarnya terdapat makna kenapa bulan-bulan Islam dinamakan sedemikian.

Muharram – محرم

Dinamakan Muharram kerana orang-orang Arab mengharamkan peperangan dalam bulan tersebut

Safar – صفر

Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong

Rabiul Awal – ربيع الأول  dan Rabiul Akhir – ربيع الأخر

Dinamakan sedemikian kerana bumi diliputi dengan kesuburan pada dua bulan tersebut 

ASMA’  ALLAH AL-HUSNA (NAMA-NAMA ALLAH YANG INDAH)

Fadilat Asma’ al-Husna

Dari Abu Hurairah r.a.: Nabi s.a.w. bersabda: "Allah itu memiliki sembilan puluh sembilan nama yang indah. Barang siapa yang mampu menghafalnya, maka dia akan masuk syurga. Sesungguhnya Allah itu ganjil [esa] dan Dia menyukai [bilangan] yang ganjil." Hadis Riwayat al-Bukhari

 

     

DOA MEMOHON PERLINDUNGAN DARIPADA KEJAHATAN MUSUH

 

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Apabila takut kepada sesuatu kaum, sebutlah (berdoalah):

اَللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِىْ نُحُوْرِهِمْ  وََنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ

Ya Allah, sesungguhnya kami meletakkan (kekuasaan)Engkaupada tengkok musuh-musuh kami dan kami berlindung denganMu daripada kejahatan mereka”.

Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Hakim dan Al-Baihaqi

 RENUNGAN

Daripada ‘Auf bin Malik r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihi kamu. Kamu berdoa untuk mereka dan mereka mendoakan kamu. Dan sejahat-jahat pemimpin ialah mereka yang kamu benci dan dia membenci kamu. Kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu.” Hadis Riwayat Muslim

 

 
           
Susunan Biro Dakwah

Di sediakan & rekacipta: Biro Penerangan & ICT 2009